Latest News

Ucapan Pengetua Cemerlang

Monday, June 14, 2010 , Posted by SMKDKP at 1:50 AM

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., kaum keluarga, para sahabat dan pengikut baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Terlebih dahulu saya memanjatkan rasa bersyukur kehadrat Allah kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Klana Putra versi xenon ini telah dapat dibina dengan jayanya. Semoga dengan wujudnya laman web ini, besarlah harapan warga sekolah agar ianya akan dapat memberikan pengetahuan dan juga informasi terkini kepada sesiapa saja yang melayarinya nanti.

Seperti yang kita sedia maklum, perkembangan teknologi maklumat kini semakin pesat seiring dengan peredaran masa. Sebagai contoh, dahulu surat dihantar melalui perkhidmatan pos yang menggunakan basikal, diikuti penggunaan motosikal, kemudian perkhidmatan telegram yang jelas menunjukkan perubahan ini bertujuan bagi memendekkan masa surat itu sampai kepada penerimanya. Tetapi kini surat ataupun segala macam dokumen boleh dihantar dengan kadar yang amat pantas dengan menggunakan aplikasi e-mail.

Penggunaan teknologi internet bukan sahaja terhad kepada penyebaran maklumat dengan pantas bahkan pelbagai aplikasi lain boleh dilaksanakan antaranya aplikasi panggilan video, aplikasi GPS dan banyak lagi. Maka dengan itu, kita tidak mahu generasi kini ketinggalan dengan arus ledakan teknologi maklumat ini. Murid-murid haruslah didedahkan dengan perkembangan ini sejak di bangku sekolah lagi supaya mereka mendapat manfaat daripada penggunaan internet. Pembinaan laman web sekolah merupakan satu inisiatif penting dalam mencapai tujuan ini selain ia juga memberikan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada murid-murid bahkan kepada semua warga sekolah, ibu bapa, bekas-bekas pelajar dan penduduk sekitar dalam merapatkan hubungan dan perkongsian maklumat.

Akhir sekali, saya selaku pengetua sekolah ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga sekolah dan juga sesiapa saja yang memberikan bantuan dan nasihat dalam mewujudkan Laman Web Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Klana Putra ini dengan jayanya. Sekian dan Wassalam.

PN. SOLLEHA BT HASHIM

PENGETUA SMKDKP

Currently have 0 comments:

Leave a Reply

Post a Comment